Selasa, 19 April 2011

CUMA INGIN BERKONGSI

BETAPA PENTING MERANCANG UNTUK MASA AKAN DATANG...

Bismillahirrahmanirrahim,


Sekadar ingin berkongsi cerita tentang betapa pentingnya kita merancang untuk masa depan. Kalau kita lihat sekarang hidup kita terdedah dengan macam-macam benda yang tak dijangka, sudah tentu kita mengharapkan yang baik-baik sahaja namun sayangnya sesutu yang kita tak jangkakan sering kali mendatangangi kita~cehh macam lirik lagu suratan atau kebetulan pulak nyanyian Kenny, Renny dan Martin pulak,hehe~ Tapi memang inilah hakikat kehidupan ramai diantara kita yang lebih suka memikirkan sekarang daripada masa yang akan datang. Bukan tujuan saya ingin memberi nasihat kerana saya juga seorang yang sangat naif tentang ini, namun akhir-akhir ini minda saya sedikit terbuka dan hati saya diusik dengan berbagai-bagai soalan membuatkan saya ingin berkongsi dengan anda.


Menjadi tanggungjawab saya untuk mengajak kawan-kawan merenung semula pada tuntuan melakukan 5 PERKARA SEBELUM 5 PERKARA. Dulu saya kurang memahaminya, terkadang saya merasa ianya sangat leceh kerana bukankah semua orang tahu akan benda ini?? Akhirnya saya mengenal pasti bahawa tahu dan buat adalah 2 perkara yang berbeza. Ramai orang yang tahu tapi tidak mengamalkannya malah ada yang menunda-nunda untuk melakukannya. Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana saya akui saya juga bukan orang yang cenderung dalam membuat perancangan kekadang saya abaikan kesemua tuntutan-tuntutan ini kerana kelalaian saya. Kini saya bermula semula dan saya ingin menghayati sedalam-dalamnya setiap tuntutan ini dan secara tak langsung dalam perkongsian ini saya juga mengingatkan diri saya. Bukankah kita dituntut untuk saling ingat-mengingatkan??


TUNTUTAN 5 PERKARA SEBELUM 5 PERKARA:-


1.MUDA SEBELUM TUA.


Bagaimana anda mengklafikasikan tuntutan ini?? Adakah bermaksud kita harus enjoy sebab masa muda hanya sekali?? Sebenarnya masa muda adalah masa yang perlu kita manfaatkan untuk mengumpul harta dan berkerja keras demi kesenangan di masa tua. Saya tidak bermaksud untuk mengajak anda mengejar harta duniawi, tidak! Bukan itu yang saya maksudkan, apa yang saya tegaskan di sini adalah kesenangan untuk masa tua kita nanti kerana kebanyakkan kita lupa untuk menyimpan di masa tua malah ada di antara kita berkerja siang dan malam memang saya katakan golongan ini sangat kuat mencari wang namun dia terlupa untuk menyimpan walaupun sedikit untuk masa tuanya. Ya!! Kita membayar bermacam-macam tanggungan hutang, astro, sewa rumah, kereta dan sebagainya tetapi kita terlupa membayar diri kita sendiri dengan menyimpan sedikit untuk persaraan kita.


Kalau kita lihat berapa ramai yang sudah bersara masih lagi berkerja mencari sesuap nasi untuk menanggung kos hidup yang semakin lama semakin meningkat. Cukupkah EPF anda untuk menanggung masa tua anda?? Mengikut kajian Bank Negara kebayakkan rakyat negara kita akan menghabiskan wang pencen hanya dalam masa 4 Tahun sedangkan kajian lain membuktikan bahawa jika seseorang itu panjang umur jangka hayatnya akan mencecah sehingga 80 tahun bagi lelaki dan 84 tahun bagi wanita. Maksudnya kalau kita bersara umur 55@58 tahun kita ada kehidupan selepas bersara lebih kurang 30 tahun. Berbalik kepada soalan tadi cukupkah EPF kita tadi untuk menampung kos kehidupan selepas bersara?. Inilah yang menyebabkan saya terusik dan kembali kepada maksud sebenar Konsep tuntutan Muda Sebelum Tua.




2. SIHAT SEBELUM SAKIT
Tuntutan yang kedua pula adalah SIHAT SEBELUM SAKIT. Mungkin ramai yang memahami maksudnya iaitu kita harus berwaspada sebelum sakit dengan mengamalkan cara hidup yang sihat dan amalan pemakanan yang baik akan membuatkan kita terhindar daripada masalah sakit. Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan kehidupan rutin kita seperti biasa tapi pernahkah anda terfikir walau sejenak bagaimana sekiranya ALLAH tarik balik kelebihan yang ada pada kita?? Tiba-tiba kita sakit dan menjadi lumpuh, apakah kita sudah merancang untuk itu?? Seperti yang saya katakan di awal-awal tadi kita meminta yang baik-baik sahaja tetapi kita tidak boleh lari dari sesuatu yang di luar jangkaan kita.

Ingat andai ditakdirkan kita LUMPUH HARI INI, tempat yang memberikan kita pekerjaan mungkin tidak akan memberikan kita pekerjaan lagi dan sesuatu yang pertama sekali hilang sebenarnya kita hilang punca pendapatan kita. Pada masa itu macam mana kita nak teruskan kehidupan tanpa punca pendapatan?? Atau jika kita menghadapi penyakit yang kronik dan memerlukan ratusan ribu untuk membayar kos rawatan kita, dari mana kita hendak dapatkan duit?? Ya, mungkin anda ada simpanan. Tapi percayalah bencana kesihatan akan dengan cepat menjadi bencana kewangan, bayangkan kos rawatan anda RM50,000. Katakanlah anda seorang penyimpan yang tegar anda ada RM50,000 dalam akaun yang anda simpan lebih kurang RM500 sebulan, anda sebenarnya telah menyimpan selama 100 bulan bersamaan dengan 8 tahun 4 bulan. Satu tempoh yang lama bukan??

Anda fikirkan sendiri bukankah anda telah melabur begitu lama untuk mendapatkan simpanan yang banyak namun disebabkan anda sakit wang yang anda simpan selama ini habis digunakan untuk membayar kos rawatan anda wlalhal anda boleh menggunakannya untuk pelaburan lain yang mendatangkan hasil seperti memulakan perniagaan dan sebagainya. Disebabkan itu lah kita dituntut untuk memikirkan apa yang kita perlu rancang di masa kita sihat sebelum datangnya sakit. Mahukah anda seperti ini?? Merayu dan mengemis simpati orang?? atau mengharapkan bantuan dari keluarga anda?? Adakah anda memiliki keluarga yang jutawan?? Anda harus ingat bahawa keluarga anda juga ada tanggungan, mungkin keluarga kita boleh membantu tapi berapa lama?? atau berapa yang mampu mereka bantu?? kerana mereka juga maemiliki tanggungan. Renungkanlah.






3. KAYA SEBELUM MISKIN

Kaya sebelum miskin?? Sukar untuk saya mengklasifikasikan apa maksud yang tersirat pada tuntutan yang ketiga ini. Adakah semata-mata bermaksud "JANGAN BOROS"? Saya tidak melihat tuntutan ini dari segi itu sahaja, mungkin juga ini salah satu dari maksudnya kerana dalam setiap tuntutan itu terlalu banyak yang kita boleh simpulkan untuk kita jadikan panduan dalam merancang. Kenapa tidak disebutkan Miskin sebelum Kaya?? Bukankah bila miskin orang akan merancang untuk jadi kaya?? Walaupun anda kaya hari ini kita tidak tahu adakah kaya itu berkekalan kerana hidup ini umpama roda, tidak selamanya akan berada diatas. Jadi pada kesempatan ini kita harus merancang untuk mengekalkan kekayaan yang ada?? Apa kunci sebenar mengekalkan kekayaan?? Jawapannya adalah ZAKAT!! Kekayaan itu hanya menjadi satu keberkatan kalau anda zakatkannya. Bahkan dengan mengeluarkan zakat harta kita akan jadi lebih bersih. Tidak terlintas di hati untuk memberi ceramah agama namun inilah hakikatnya kerana bila wang tidak dizakatkan ia ada sahaja jalan untuk keluar.

Dengan mengeluarkan zakat juga kita sebenarnya telah menyumbang kepada beribu-ribu fakir diluar sana dan membantu golongan asnaf lain(8 golongan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf, fisabilillah,Riqab - Seseorang yang mahu membebaskan dirinya daripada ikatan atau belenggu perhambaan, Gharimin - Seseorang yang terpaksa berhutang dan memerlukan bantuan untuk menampung keperluan asasnya dan Ibnissabil - Musafir yang terkandas dalam perjalanan. Adakah dengan berzakat harta anda menjadi kurang?~teringat seorang kawan, masa tu kami sedang berada dalam kelas malam membincangkan tentang Zakat. Mungkin juga kawan saya ini sedang mengelamun.. bila Bos saya tanya ".. bila zakat duit kita akan jadi....?" bos saya tidak menyambung ayatnya tadi tapi disahut oleh kawan saya dengan "kurang.." hehe...~ Memang jumlah wang kita menjadi kurang tapi ALLAH sebenarnya menggantikannya dengan yang tidak terhitung banyaknya.

Tahukah anda siapa Tokoh Maal Hijrah 1429? Beliau adalah Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor Al Bukhari yang menjadi pemangkin kepada yayasan Al Bukhari Melalui yayasan itu, sebanyak 20 buah masjid dibina termasuk menyumbang kepada projek membaik pulih Masjid Negara selain membina Muzium Kesenian Islam pada 1998 serta membiayai golongan fakir untuk menunaikan Haji setiap tahun. Adakah harta beliau berkurang?? Tidak! Malah dia berada dalam senarai 10 jutawan teratas negera. Bila ditanya apa nadi utama kesenangannya, beliau berkata
“Sejak usia saya remaja lagi ibu sudah mendidik saya untuk mengagihkan separuh daripada pendapatan yang diperolehi kepada golongan yang memerlukan dan sehingga sekarang tanggungjawab itu terus menjadi satu kewajipan buat diri saya"

Di sisi lain juga saya melihat tuntutan ketiga ini sebagai landasan untuk kita membuat pelaburan untuk menambah lagi kekayaan kita. Selain dengan pelaburan zakat tadi kita juga boleh mencari pelan-pelan pelaburan yang untung dan berlandaskan syarak. Pelaburan yang anda tahu bila anda susah nanti ia akan banyak membantu.


4. HIDUP SEBELUM MATI.

Mati!! Ramai yang kata janganlah sembang pasal mati, macam mintak plak !! Harapan saya mind set anda tidak seperti itu kerana sudah tertulis yang hidup itu pasti akan mati. Kematian adalah pasti. Persoalannya ialah bukan bila kita akan pergi tapi apa perancangan kita sebelum mati. Adakah setelah kita pergi semua tanggungjawab kita akan terlepas? Adakah kita akan selamat dari hutang walaupun kita mati syahid? Adakah kita akan selamat di dunia sana kerana meninggalkan anak-anak dan isteri kita dalam keadaan meminta-minta? Tidak kawan-kawan kita takkan terlepas walau seinci pun kerana semua akan dinilai diakhirat nanti.

Bagaimana kita merancang kehidupan kita sebelum ajal datang menjemput? Disebabkan itu kita harus mengambil satu langkah yang bijak untuk membentuk aset jangka pendek atau kita panggil dengan aset segera. Lebih-lebih lagi jika anda seorang lelaki, tanggungjawab anda lebih besar. Dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 240: seorang lelaki harus meninggalkan setahun pendapatan dan tempat tinggal untuk anak dan isteri yang ditinggalkan. Jikalau gaji anda RM2,000, sekurang-kurangnya hari ini dalam akaun anda perlu ada RM24,000 untuk backup keluarga anda. Lihatlah betapa ALLAH SWT menekankan tentangnya.

Oleh itu, anda harus mula memikirkan untuk mencari pelan-pelan perlindungan yang bermanfaat kepada anda bukan sahaja untuk jangka masa panjang tapi juga untuk jangka masa pendek.







5. LAPANG SEBELUM SEMPIT.

Demi masa sesungguhnya manusia itu kerugian melainkan yang bijak menggunakannya. Kuasai hidup anda dengan memahami tuntutan yang keempat ini. Bagaimana anda menguasainya?? Sama ada kita sedar atau pun tidak, ramai di antara kita termasuk diri saya sendiri sering kali mensia-siakan masa lapang dengan melakukan perkara yang tidak menguntungkan seperti bermain game di internet, berchating berjam-jam tanpa membincangkan hal yang bermanfaat. Apa sahaja yang kita lakukakn pada masa lapang haruslah kita dengan harapan kita akan menguasai hidup kita kerana orang yang menguasai kehidupannya adalah orang yang bijak. Tuntutlah ilmu yang bermanfaat sebagai bekalan duniawi dan ukhrawi kerana bila kita kembali sibuk dengan kerja kita sudah tidak lagi berkesempatan untuk mendalami ilmu itu.

Pada masa lapang ini kita harus memperbanyakkan ilmu untuk menghayati dan mengamalkan 4 tuntutan lain tadi. Saya tidak berniat untuk mengajar sesiapa tetapi sekadar ingin mengajak anda semua berfikir sejenak mula merancang untuk menjamin kehidupan yang lebih baik jika sesuatu yang kita tidak jangka datang bertamu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan